Wednesday, June 23, 2010

Misi Nasi Dagang

Semasa bercuti ke Kuala Terengganu pada musim cuti sekolah yang lalu, satu misi yang perlu dilunaskan ialah mencari nasi dagang! Bukannya tidak ada nasi dagang di sekitar Lembah Kelang ni, tapi sengaja nak cari nasi dagang Terengganu di negeri Terengganu sendiri dan dijual oleh orang tempatan.




Pada hari kedua percutian, lebih kurang jam 8 pagi kami sudah bersedia dengan GPS yang disetkan ke 'Restoran Nasi Dagang Mak Ngah'. kalau dari Kuala Terengganu, restoran tu terletak di deretan kedai selepas jambatan Kuala Ibai. Tak susah nak cari sebab dari jarak 100 meter pun dah nampak banyak kereta berbaris kat depan kedai tu.
Memang pun awal lagi dah ramai orang kat restoran ni. Mujur ada meja kosong. Di dinding restoran tergantung plak "Jalan-jalan Cari Makan TV3". Pesanan nasi dagang kami dihantar dalam bungkusan daun pisang. Setiap bungkus tu kecil saja, lebih kurang satu senduk dengan sepotong ikan tongkol. Emm..memang sedap sebab ikan ayer @ ikan tongkol tu rasanya pedas berbanding nasi dagang yang pernah kami makan kat tempat lain. Teringat kami pada kontroversi yang melanda restoran ini bila kisah kepala ikan tongkol yang Mak Ngah ni jual dengan harga RM45 tersiar ke seluruh negara satu masa dulu. Memang rezeki restoran ni, kontroversi tu tambah mempopularkannya lagi.

Hari ketiga, kami pergi pula ke kedai nasi dagang yang dikenali dengan nama kedai nasi dagang Kak Jah di Jalan Bukit Besar. Kalau anda biasa dengan Kuala Terengganu, Jalan Bukit Besar ni tak lah susah sangat nak cari. Nasi Dagang di sini pun dijual secara bungkus dengan daun pisang. Sayangnya tak teringat pulak nak ambil gambar. Cuma gambar kedai (di atas) yang sempat dirakamkan. Secara perbandingan, rasanya ikan tongkol restoran Mak Ngah masih menjadi pilihan.


Hari keempat, sebelum balik kami pergi ke kedai yang tak jauh dari penginapan di Batu Buruk. Kedai Kak Pah di Medan Selera Pantai Batu Buruk ini merupakan salah satu kedai nasi dagang paling popular di Kuala Terengganu. Semasa musim perayaan atau cuti panjang, memang tak menang tangan Kak Pah melayan pelanggan yang berbaris panjang. Biasanya ada dua barisan, barisan kanan untuk makan di situ dan barisan kiri untuk bunngkus.
Berbeza dengan dua kedai sebelumnya yang nasi dibungkus dalam daun pisang, kedai Kak Pah ni hidangannya dalam pinggan. Ikan tongkol pun agak 'mewah' dengan potongan yang besar. Tak hairan lah kedai ni popular..memang sedap! Kalau nak buat ranking, kedai Kak Pah ni hampir seiring dengan restoran Mak Ngah.
Kepada anda yang memang gemarkan nasi dagang, cubalah makan di kedai-kedai tu. Selamat menjamu selera!

No comments: